Fatwa bahawa Islam tidak membenarkan mana-mana pihak terutama umatnya melakukan kekejaman dan membunuh orang awam yang diiktiraf dan menjadi rujukan banyak negara, sekali gus menempatkan Datuk Dr Afifi al-Akiti, setanding ulama terkemuka dunia.

Menurut felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford itu, penulisannya dihasilkan ketika beliau menuntut di Universiti Oxford dalam bidang Teologi, Falsafah dan Pengajian Islam.

Karya dalam bahasa Arab berjudul 'Mudafi al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ála Qital Man La Yuqatil' (Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians) tentang pembelaan terhadap pihak teraniaya dengan mengecam kumpulan pelampau yang membunuh orang awam, ditulis beliau ekoran kejadian letupan bom di London pada 7 Julai 2005.

Ekoran kejadian tersebut, beliau mengirim sebuah risalah panjang menerusi e-mel kepada kumpulan ulama bagi menjelaskan bahawa menurut Mazhab Shafie, agama Islam tidak mengajar umatnya bertindak ganas bahkan agama keamanan.

Risalah dalam bahasa Arab itu diterima ulama Islam dan kemudiannya turut diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman, menjadikan beliau dikenali di mata dunia.

Sehingga kini, fatwa tersebut kerap digunakan sebagai rujukan pendakwah dan ahli akademik serta sebagai hujah dalam perdebatan pengamal media termasuk wartawan penyiaran Al Jazeera, Mehdi Hasan bagi menangkis tanggapan bahawa Islam merupakan agama yang menyokong keganasan.

TERSENARAI 500 MUSLIM BERPENGARUH

Lebih membanggakan apabila Afifi, 43, anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu menjadi rakyat Malaysia serta anak Melayu pertama dan satu-satunya yang ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas beliau tentang pengajian Islam.

Beliau berkata, khidmatnya di universiti berkenaan umpama 'duta' masyarakat Nusantara terutamanya Malaysia kerana warga universiti Oxford yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Britain, Amerika dan Eropah belum pernah menjejakkan kaki ke Asia Tenggara.

"Ini merupakan satu amanah daripada Allah SWT. Saya menerimanya dengan rendah diri. Alhamdulillah penerimaan komuniti di sana sangat baik dan menakjubkan. Pelajar lain seperti dari falkuti sains juga hadir ke kuliah saya," beliau memberitahu Bernama ketika berada di tanah air, baru-baru ini.

"Di sana kita mahu mengajar Islam dengan cara yang bersanad dan berhikmah, kesinambungan daripada ulama terkemuka seperti Imam al-Ghazali sehingga kepada Rasulullah SAW, agar tidak terjebak dengan ajaran sesat," tambahnya.

Ulama terkemuka itu turut menggalas tugas penting sebagai Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak selaku penasihat rasmi kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam pelbagai perkara terutamanya berkaitan Islam.

Beliau yang boleh berkomunikasi dalam tujuh bahasa termasuk Latin, Greek, Perancis, Jerman, Arab, Inggeris dan Melayu itu turut dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Almarhum Sultan Azlan Shah pada 2009.

Pada 2018, Majlis Raja-Raja melantik Afifi sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-raja Hal Ehwal Islam Peringkan Persekutuan.

"Jawatankuasa ini penting untuk meyakinkan pihak pemegang kepentingan peringkat tertinggi bagi bidang kuasa Islam, iaitu Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk memberikan cadangan dan penambahbaikan institusi agama Islam di peringkat Persekutuan," jelas Afifi.

Atas jasa dan sumbangannya di peringkat antarabangsa, maka tidak hairanlah beliau turut tersenarai dalam 'The World's 500 Most Influential Muslims', sejak tahun 2010 sehingga kini.

Makalah itu diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja, di Amman, Jordan.

PENGORBANAN, RAHSIA KEJAYAAN

Afifi yang juga peminat filem lakonan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Star Wars berkata selain daripada usaha gigih, rahsia kejayaan beliau pada hari ini adalah atas pengorbanannya serta sokongan keluarga.

"Tanpa pengorbanan kita takkan dapat berada di mana kita mahu berada, dan tanpa pengorbanan keluarga, saya tidak akan berada di mana saya berada kini. Tiada jalan mudah untuk berjaya, kena bekerja keras, itulah rahsia kejayaan," jelas beliau.

Berkongsi tentang pendidikan awal beliau, bapa kepada tiga orang anak itu berkata sewaktu di sekolah rendah beliau banyak berpindah sekolah di sekitar Selangor kerana mengikut ibunya yang bertugas sebagai guru di negeri itu.

Berkat ketekunan dan restu keluarga, Afifi yang juga ahli Majlis Halal Malaysia berjaya memiliki Ijazah Sarjana Muda Falsafah Skolastik dan Sejarah dan Falsafah Sains, dari Universiti Queen Belfast, United Kingdom (2001), Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Oxford, UK (2002) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengajian Islam, dari Universiti Oxford, UK (2008).

"Saya mengembara ke luar negara untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman pada usia 15 tahun atas kemahuan sendiri. Saya banyak mengembara ke negara Arab untuk berguru termasuk Maghribi untuk mengaji talaqi dengan ulama.

"Saya berpeluang menjadi imam di Belfast, Ireland Utara sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dengan biasiswa penuh sebagai 'Clarendon Scholar' dari universiti itu sehingga berjaya menamatkan PhD," tambahnya yang pernah menerima Anugerah Perdana merangkap Tokoh Maulidur Rasul 2017, peringkat kebangsaan.

Sebagai ulama, beliau menasihati umat Islam agar lebih menghayati Islam dan mengimbangi antara mencari ilmu dunia demi untuk mencapai kejayaan di akhirat.

"Saya percaya jika umat Islam berjaya di dunia, kita dapat beri teladan, nilai sejagat yang murni agar umat lain juga dapat menghayatinya," katanya.

Mengakhiri perbualan, Afifi berkata, agama Islam dilihat sebagai inspirasi kepada orang lain untuk berkembang, agama yang indah, sejagat dan sempurna, namun sekiranya umatnya kurang sempurna, maka mereka perlu mendalami Islam dan menjadi penganut yang lebih baik.

-- BERNAMA