KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh telah memberi keterangan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada pagi ini.

Dr Muhamad Akmal berkata keterangan diberikan antaranya mengenai laporan polis berkait ceramah beliau di Kelantan baru-baru ini, dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti atau perkara di Sabah.

"Saya di Sabah hari ini bagi menghadiri program Pergerakan Pemuda UMNO di Beaufort dan majlis berbuka puasa, ada kita adakan di negeri-negeri lain sebelum ini. Sebaik tiba di KKIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu) kira-kira 10.15 pagi tadi, saya diminta ke IPD Kota Kinabalu.

"Saya tidak diberitahu tidak boleh masuk ke Sabah, semua berkenaan isu di sana (Semenanjung). Saya sedia memberi kerjasama penuh untuk pihak polis menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan itu di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini mengesahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan Dr Muhamad Akmal di KKIA hari ini untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Dr Muhamad Akmal berkata beliau dijadual memberikan keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur esok, namun sedia memberikan kerjasama apabila pihak polis meminta beliau memberikan keterangan di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM di IPK Kota Kinabalu, kerana telah memberi layanan yang amat baik dan profesional sepanjang proses memberikan keterangan itu.

-- BERNAMA