Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihatkan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik menukar tajuk ceramahnya kepada yang lebih sesuai dan harmoni.

Jamil Khir berkata penukaran itu bagi mengelakkan tercetusnya polemik dan timbulnya kegelisahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau bagaimanapun menyifatkan ceramah Dr Zakir itu yang diadakan di beberapa lokasi di negara ini tiada unsur menghina agama lain.


MESTI BACA: 8 fakta anda perlu tahu tentang Dr Zakir Naik

MESTI BACA: Timbalan Ketua Menteri kesal panggil Dr. Zakir Naik 'syaitan'

MESTI BACA: Dr Zakir dibenar berceramah, tetapi perlu tukar tajuk - Zahid



Ceramah itu tidak juga 'mempromosi' perpecahan dan perbalahan, malah ia sering dihadiri oleh tokoh daripada kalangan bukan lslam, kata beliau.

"Dalam konteks "Jelajah Dr Zakir Naik di Malaysia", pendakwah itu menekankan aspek perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan perlunya menghormati kepelbagaian agama yang ada di Malaysia, kata Jamil Khir dalam satu kenyataan semalam.

"Meskipun ceramah beliau ada menyebut agama lain namun ia bukan bertujuan mengaibkan sesuatu agama itu.

"Malah ia merupakan perbincangan dan perdebatan ilmiah yang dilaksanakan dengan penuh hikmah dan ketertiban," kata beliau.

Jamil Khir turut menyifatkan Dr Zakir seorang pendakwah yang terkenal dan mendapat tempat di seluruh dunia.

Malaysia pernah mengiktiraf pendakwah itu sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2013 berdasarkan ketokohan dan keilmuannya, kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) Prof Madya Dr Azman Hassan menyokong kehadiran Dr Zakir ke Malaysia, dan menyifatkan dakwaan kononnya penganjuran ceramah Dr Zakir akan menggugat ketenteraman awam atau sensitiviti agama adalah tidak berasas.

"Ceramah yang disampaikan oleh Dr Zakir ini bukanlah kali pertama dianjurkan di Malaysia bahkan konsep perbincangan dalam ceramah itu adalah berasaskan fakta dan hujah dan bukannya emosi tanpa asas," katanya.

Beliau menyeru pihak berkenaan atau individu yang tidak bersetuju dengan ceramah itu sama ada dalam kalangan orang Islam atau tidak, untuk hadir mendengar sendiri hujah yang akan dibentangkan dan menyatakan sendiri di hadapan Dr Zakir segala hujah dan sebab untuk tidak bersetuju dengan pendakwah itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengarahkan pembatalan forum Dr Zakir bertajuk 'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka agar tidak menjejas ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan membenarkan Dr Zakir meneruskan ceramahnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) pada Ahad ini, namun perlu menukar tajuk syarahannya.