KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,170 syarikat pertahanan dan keselamatan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 yang akan bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pameran itu juga dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.

Menurut beliau, penyertaan yang menarik perhatian wakil dari lebih 50 buah negara itu sesuatu yang harus menjadi kebanggaan bagi Malaysia.

"Ini sesuatu yang kita sepatutnya bangga. Penyertaan juga amat mengagumkan, mereka dari lebih 50 negara yang mengambil bahagian, 25,000 pengunjung dijangka hadir dengan 350 delegasi dari portfolio pertahanan dan keselamatan juga akan hadir.

"Ini membuktikan bahawa kita telah mengambil langkah ke hadapan," jelasnya dalam sidang media sempena DSA dan Natsec 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada Ahad.

DSA dan Natsec 2022 yang bermula esok di di MITEC dengan majlis perasmian pada sebelah petang ini.

Pameran pertahanan selama tiga hari itu kembali dianjurkan selepas empat tahun tidak diadakan dan penyertaan syarikat pertahanan dan keselamatan daripada 54 buah negara antaranya, Amerika Syarikat, Austria, Perancis, Jerman, Indonesia, Itali, Sepanyol dan Turki.

Berikutan penganjuran DSA dan Natsec 2022 ketika pandemik COVID-19 masih membelenggu dunia, Hishammuddin menegaskan, pameran itu akan berlangsung mengikut protokol kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penganjuran DSA dan Natsec 2022 juga, jelas Hishammuddin, turut memberi isyarat bahawa Malaysia kini sudah bersedia untuk membuka pintu sempadan negara pada 1 April ini seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

"Selepas empat tahun, saya berharap dua pameran ini dapat berjalan lancar, ini merupakan isyarat bahawa Malaysia sudah bersedia.

"Saya ingin memberikan jaminan bahawa pameran ini diadakan berlandaskan protokol kesihatan sedia ada.

Saya harapkan agar semua dapat mengikut SOP dan berdisplin, kerana apa yang kita buat hari ini akan menentukan masa depan kita," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula berpendapat, menerusi dua pameran terbabit dapat memberi peluang kerajaan untuk melihat teknologi terkini yang boleh dilengkapkan dalam agensi kerajaan terutama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Dalam tempoh empat tahun ini, aset kita berada dalam keadaan terbaik, tetapi dengan adanya pameran sebegini, kita boleh melihat sama ada teknologi yang digunakan kita perlu ditambah baik terutama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita bukan hanya bercakap mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi juga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan banyak lagi agensi berkaitan yang kita perlu lihat teknologi tersedia dalam pasaran," ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin dan Hamzah meluangkan masa melawat persiapan pameran DSA dan Natsec 2022 di MITEC.