Dua anggota polis Indonesia dilaporkan ditahan di Kuching Jumaat lepas atas kesalahan terlibat sindiket dadah, lapor Kompas.com

Ketua Polis Daerah Kalimatan Barat, Brigadir Jenderal Arief Sulistyanto dilaporkan sebagai berkata, kejadian tersebut telah merosakkan apa yang telah dilakukan Kepolisian Daerah Kalimantan Barat selama ini.

Arief dipetik oleh Kompas.com sebagai berkata pihaknya mengetahui tentang penangkapan tersebut ketika beliau dalam perjalanan ke Singkawang dari Mempawah, Jumaat lepas.

Dua anggota tersebut, AKBP Idha Endri Prastiono dan Brigadir Kepala MH Harahap dilaporkan ditahan disebuah hotel di Kuching.

Arief telah melaporkan perkara berkenaan kepada pihak atasannya dan satu pasukan dari Kepolisian Kalimatan Barat telah dihantar ke Kuching pada Sabtu.

Sementara, Ketua Bahagian Penerangan Umum Polri, Agus Rianto berkata pihaknya mengambil berat terhadap kes tersebut dan masih menunggu laporan lengkap dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM)

Agus berkata pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak PDRM dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Sementara Tempo pula melaporkan, tangkapan terhadap dua anggota polis Indonesia itu dibuat ekoran penahanan seorang wanita warga Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang membawa lima bungkusan syabu.

Wanita itu ditangkap hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pihak Office of the Narcotics Control Board (ONCB) Thailand. Wanita tersebut mengaku bahawa dadah yang dibawanya akan dikirimkan ke Kuching.

Hasil siasatan PDRM mendapati dua nama yang terlibat ialah Idha Endi Prastiono dan MP Harahap yang merupakan anggota polis Indonesia di Kalimantan Barat.

Tempo juga melaporan pihak Polis Kalimantan Darat telah ke Kuching pada Sabtu (30 Ogos) lalu dan bertemu Ketua Polis Sarawak, Senior DCP Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

Laporan itu juga menyatakan siasatan kes tersebut dibuat oleh pihak PDRM Bukit Aman dan pihak Polis di Kuching tidak dibenarkan membuat kenyataan yang diperlukan oleh Polis Daerah Kalimantan Barat.

Usaha wakil Astro AWANI di Kuching untuk mendapat pengesahan dari PDRM masih gagal setakat ini.