TANAH MERAH:Bukan mudah mendaki bukit dan duduk bertemankan pacat serta serangga hampir setiap hari untuk mendapatkan akses Internet bagi mengikuti kelas dan menjawab peperiksaan secara dalam talian.

Namun itu realiti yang dihadapi Norlida Khalida Mohd Azmi, penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dan adiknya, Mohd Amin Khalili yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bukit Besi dekat sini.

Sejak kampus ditutup berikutan pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19, mereka berdua terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok bagi mendapatkan akses Internet di kawasan belakang rumah di Kampung Bukit Tal Tujuh, Jerangau, di sini.

Norlida ketika ditemui Astro AWANI, berkata dia perlu belajar dan menjawab kertas peperiksaan di bawah khemah sementara didirikan oleh ayahnya Mohd Azmi Ahmad, 48.

 Mereka berdua terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok bagi mendapatkan akses Internet.

Ini kerana liputan Internet di kampungnya amat lemah dan amat mudah terganggu disebabkan cuaca, namun kawasan bukit itu menerima liputan Internet yang stabil.

"Ayah yang buat khemah sementara, tarik wayar elektrik dari rumah ke sini dan bawa ubat nyamuk lingkaran bagi menghalau nyamuk.

"Serangga seperti nyamuk memang banyak selain pacat dan lipan, tapi itu tidak mematahkan semangat saya. Malah, ayah kerap juga temani saya jika keadaan sunyi," katanya.

Katanya, hujan juga tidak menghalang dia meneruskan sesi pembelajaran termasuk sidang video bersama pensyarah.

"Bila hujan musim tengkujuh ini, tempias kena komputer riba tak dapat nak elak... tapi semua itu saya tempuhi demi pembelajaran dan peperiksaan yang sedang saya duduki ini" katanya.

Menurutnya, masalah liputan Internet di kampungnya berlaku sejak dahulu lagi kerana terletak di kawasan luar bandar.

 Mereka berdua terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok bagi mendapatkan akses Internet.

Bagi adiknya, Mohd Amin Khalili, dia lebih selesa menggunakan pondok yang dibina di atas pokok berhampiran khemah kakaknya.

"Kalau tak hujan saya panjat pokok ini, duduk di atas pondok ini... di sini lebih redup dan sejuk. Liputan Internet pun lebih stabil di atas sini kerana lebih tinggi," katanya.

 Mereka berdua terpaksa mendaki bukit dan memanjat pokok bagi mendapatkan akses Internet.

Sementara itu, bapa mereka, Mohd Azmi yang bekerja kampung berkata, kedua-dua anaknya itu tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran dan dia bersedia melakukan apa sahaja untuk membantu mereka.

Mohd Azmi yang mempunyai lima anak berkata, dia menyediakan khemah itu selepas mendapati kawasan itu menerima liputan Internet lebih baik dari rumah mereka.

"Masalah liputan Internet yang teruk di kampung ini bukan perkara baharu malah kebanyakan pelajar terpaksa keluar dari kawasan ini atau ke bandar Tanah Merah.

"Jika anak memerlukan akses Internet pada sebelah malam, saya biasanya membawa mereka keluar ke bandar Tanah Merah yang terletak lebih tiga kilometer dari rumah demi keselamatan," katanya.

Dia merayu kerajaan supaya mengambil tindakan untuk meningkatkan keupayaan liputan Internet di kawasan berkenaan demi membantu masyarakat setempat terutama golongan muda yang kini belajar secara dalam talian.