Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kolej Universiti Islam Pahang (Kuipsas) dekat sini, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pelajar tingkatan dua SMK Gudang Rasau, Muhammad Bukhari Md Yasin yang menunggang motosikal jenis Suzuki maut bersama abangnya, Muhammad Syuaib, 15, yang merupakan pelajar di SMK Paya Besar.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supt Mohd Noor Yusuf Ali berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa ditunggang secara menentang arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Suzuki Swift dipandu seorang peniaga wanita berusia 36 tahun.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan yang datang dari arah Pekan menghala ke Kuantan tidak sempat mengelak motosikal yang dipercayai telah menyeberangi pembahagi jalan dan ditunggang secara melawan arus itu.

"Akibat daripada pertembungan itu, kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

"Mayat kedua-dua mangsa itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (di sini) bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan sehala dua lorong dan mempunyai garisan tengah putus-putus. Terdapat kesan tayar di lorong kiri, pecahan kemalangan serta tompokan darah di tempat kejadian.

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Mohd Noor mengingatkan orang ramai terutamanya ibu bapa agar mengawal pergerakan anak masing-masing serta melarang mereka menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen.

"Kenderaan yang dimiliki juga perlu mempunyai cukai jalan serta sentiasa menekankan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya bagi mereka yang memiliki lesen yang sah," katanya.

--BERNAMA