AYER KEROH: Dua beranak menitiskan air mata kegembiraan selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar 280.7 gram dadah jenis kanabis, oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini.
 
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Radzi Abdul Hamid terhadap Sharon  Farnell, 52, dan anak perempuannya, Theresa Kennedy, 26, pada akhir kes pendakwaan.

Mohd Radzi ketika membaca kesimpulan kehakiman selama kira-kira 45 minit berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap dua beranak itu.
 

Jelasnya, terdapat percanggahan dalam kenyataan saksi pendakwaan yang dikemukakan selain pihak pendakwaan juga gagal membuktikan elemen pemilikan dadah berkenaan.
 
Katanya selain itu juga tidak dapat diketepikan terdapat individu lain yang mempunyai akses terhadap kedai yang merupakan lokasi rampasan bahan terlarang itu.
 
Mengikut pertuduhan, dua beranak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat kasar 280.7 gram di sebuah premis di Jalan Laksamana, Melaka pada 24 April 2019 lalu.
 
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
 
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala dua beranak itu diwakili peguam Haresh Mahadevan.
 
Seramai lapan saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 18 September 2019.