KUANTAN: Seorang wanita warga emas bersama anak lelakinya cedera parah akibat ditetak seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Permatang Badak di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, suspek berusia 38 tahun bertindak menetak mangsa menggunakan parang menyebabkan Radzmah Awang, 71, dan anaknya, Ibrahim Shamsudin, 36, cedera parah di tangan, kepala serta beberapa bahagian badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian dua beranak itu bersama dua lagi ahli keluarga berada di dapur rumah sebelum dikejutkan dengan kedatangan suspek.

"Suspek bertindak menendang pintu hingga pecah sebelum masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah parang lalu bertindak menyerang dan menetak dua beranak itu.

"Awalnya suspek menetak kepala dan tangan Ibrahim sebelum menyerang mangsa warga emas yang cuba melindungi anaknya," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, selepas kejadian, suspek segera melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

"Hasil siasatan, polis tidak menolak kejadian bermotifkan dendam ekoran rasa tidak hati suspek terhadap keluarga mangsa.

"Suspek pernah bekerja dengan salah seorang ahli keluarga mangsa sebelum diberhentikan kerana terlibat dengan penagihan dadah," katanya.

Menurutnya lagi, suspek juga sering mengganggu keluarga mangsa dan laporan polis juga pernah dibuat ke atas lelaki tersebut.

"Suspek pernah ditangkap dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan melakukan khianat ke atas keluarga mangsa.

"Menurut mangsa, suspek kembali mengganggu mereka kebelakangan ini apabila sering menjerit dan membaling batu di hadapan rumah," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.

"Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian