BUTTERWORTH:Seorang bapa bersama anak lelakinya yang sedang leka menagih dadah di kawasan sawah padi ditahan polis dalam serbuan di Permatang Tok Jaya, Pekan Darat, Butterworth hari ini.

Ujian saringan terhadap lelaki berusia 47 tahun yang juga pesawah bersama anaknya berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah mendapati kedua-duanya positif dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kawasan berkenaan dipercayai menjadi sarang penagih dan tempat penjualan dadah secara terbuka.

"Operasi tersebut yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama enam jam berakhir jam 3 petang itu turut menahan 23 lagi lelaki di kawasan berkenaan.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 3.16 gram bernilai RM158," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.