Dua beranak maut di Juru, polis tahan suami bantu siasatan

Pasukan polis bersama unit forensik telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci, termasuk mengumpul bahan bukti serta mengenal pasti motif pembunuhan.
JURU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai suami mangsa bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat dua beranak dalam kejadian bunuh di Kampung Sekolah Juru, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penahanan dibuat polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mayat dua beranak yang dibunuh di Kampung Sekolah Juru, Pulau Pinang malam tadi dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat hari ini.Terdahulu mayat wanita dan anak perempuannya dibawa keluar dari rumah sewa mereka kira- kira jam 1.45 pagi selepas pihak forensik dan patalogi selesai membuat siasatan.
Pemeriksaan sekitar rumah juga dilakukan pihak polis bagi mencari bahan bukti bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Difahamkan mangsa berasal dari Sik, Kedah dan ahli keluarga turut hadir di lokasi kejadian namun kehadiran mereka dikawal pihak polis.
Semalam, Astro AWANI melaporkan, dua beranak ditemukan maut oleh suaminya pada jam 7.30 malam di rumah kampung dua tingkat yang disewa sejak dua tahun lepas.
Mayat wanita berusia 51 tahun itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah dalam keadaan menyayat hati manakala, anaknya dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami