Skip to main content

Malaysia

Dua bulan ‘berdiam diri’, SPRM digesa jelas status laporan campuran kargo petroleum

Jeyenderan Ramasamy_Maritime Network
Jeyenderan berkata kira-kira dua bulan telah berlalu sejak laporan berkenaan dibuat pada 5 Jun, namun pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi bertulis - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemerhati industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan maklum balas bertulis secara substantif berhubung laporan yang dibuat pada Jun lalu mengenai dakwaan pencampuran atau pengadunan kargo petroleum.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu berkata kira-kira dua bulan telah berlalu sejak laporan berkenaan dibuat pada 5 Jun, namun pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi bertulis yang mengesahkan status laporan atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

“Objektif kami hanyalah untuk mendapatkan pendirian rasmi dan arahan yang jelas mengenai bagaimana operasi yang terjejas boleh diuruskan secara sah dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman semalam (18 Ogos), beliau berkata syarikatnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk mengemukakan dokumen dan maklumat, menghadiri mesyuarat serta memberikan penjelasan apabila diminta.

Jeyenderan menjelaskan, ketiadaan maklum balas rasmi itu telah mewujudkan situasi operasi yang serius, khususnya kerana keputusan berkaitan pengendalian, pergerakan dan pengurusan kargo petroleum tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu tanpa had.

“Keputusan yang menjejaskan pengendalian, pergerakan dan pengurusan kargo petroleum tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu.

“Operasi kami memerlukan hala tuju kawal selia yang jelas, namun tiada pihak berkuasa memberikan pendirian bertulis yang muktamad mengenai perkara yang boleh diteruskan, perkara yang perlu digantung, kawalan tambahan yang diperlukan atau agensi yang bertanggungjawab membuat penentuan tersebut,” katanya.

Jeyenderan menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar pertikaian komersial persendirian kerana ia berpotensi menjejaskan integriti dan kebolehkesanan kargo petroleum, pematuhan terhadap peraturan kastam dan petroleum, hasil kerajaan serta aspek akauntabiliti dalam rantaian bekalan.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketiadaan respons yang diselaraskan boleh menyebabkan pihak berkuasa atau pihak berkepentingan mengambil pendirian yang tidak selaras.

“Kami tidak boleh dijangka menguruskan operasi berdasarkan komunikasi tidak rasmi, tidak lengkap atau bercanggah sementara laporan rasmi dikatakan masih dalam siasatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta penjelasan sama ada sebarang keputusan telah dibuat bahawa tiada kes, sama ada perkara itu telah ditutup dan, sekiranya demikian, apakah asas prosedur bagi keputusan tersebut.

Katanya, syarikat tidak meminta maklumat sulit berkaitan siasatan, sebaliknya hanya memohon akauntabiliti dari segi prosedur serta arahan operasi yang jelas.

Pada 14 Ogos lalu, Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan, White House mengenal pasti Malaysia antara lebih 40 negara yang berisiko memudahkan pengelakan tarif melalui rangkaian transshipment yang mempunyai kaitan dengan China.

Dalam laporannya bertajuk 'The Great Transshipment Scam: Rise, Scope, and Costs', Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia dalam Tier 2 bersama Brazil, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Vietnam, dengan menyatakan pelabuhan laut dalam, hab pembuatan dan zon perdagangan bebas negara ini berpotensi menjadi saluran untuk mengalihkan barangan dari China bagi mengelak tarif AS.

Laporan itu menyatakan Malaysia berperanan sebagai hab pembuatan dan logistik, selain menonjolkan koridor perindustrian Pulau Pinang-Kulim serta Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.
 

 

Must Watch Video

Advertisement