KUCHING: Sarawak akan membangunkan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang, Samarahan sebagai pemangkin kepada fasa hadapan ekosistem kecerdasan buatan (AI) negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata kampus itu akan disokong oleh infrastruktur khusus bekalan elektrik dan air, kemudahan pengkomputeran AI serta nod keterhubungan digital yang dibangunkan menerusi pendekatan perkongsian awam-swasta.
“Kampus ini bertujuan memberikan asas fizikal kepada pembangunan Grid AI selain mewujudkan platform untuk menarik pelaburan, memperkukuh ekosistem pusat data kita serta menyokong pertumbuhan perniagaan dan keupayaan berkaitan AI di Sarawak,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS26) kesembilan bertemakan Scaling Innovation Ecosystems For A Borderless Economy: Earth, Orbit and Beyond di sini hari ini.
Abang Johari berkata seiring dengan pembangunan kampus data itu, Grid AI turut dibangunkan untuk menghubungkan sumber pengkomputeran dan memanfaatkan kapasiti tenaga boleh baharu Sarawak, iaitu dua inisiatif yang mewakili kemajuan daripada strategi kepada infrastruktur dan akhirnya kepada aplikasi.
“ADAM AI yang dibangunkan untuk Perkhidmatan Awam Sarawak ialah contoh praktikal pendekatan ini yang menunjukkan bagaimana AI boleh digunakan kerajaan untuk beroperasi dengan maklumat sah, menyokong analisis dasar serta menambah baik penyediaan dokumen, penilaian senario dan pembuatan keputusan.
“Potensi ini tidak terhad kepada kerajaan sahaja kerana keupayaan yang sama juga boleh disesuaikan mengikut rentas industri yang mempunyai keperluan dan kekuatan khusus di Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA