Skip to main content

Malaysia

Zetrix AI kemuka cadangan lunas tunggakan RM314 juta kepada kerajaan

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata keutamaan segera kumpulan adalah menyelesaikan tanggungjawab tersebut dan berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan bagi menangani isu tunggakan serahan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata keutamaan segera kumpulan adalah menyelesaikan tanggungjawab tersebut dan berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

Zetrix turut menyatakan kekesalan atas kesulitan yang dihadapi pelanggan dan orang ramai susulan penggantungan sementara perkhidmatan syarikat yang berkuat kuasa pada hari ini.

"Zetrix AI menghargai kesabaran dan pemahaman pelanggan sepanjang tempoh ini dan akan memberikan perkembangan lanjut apabila maklumat yang disahkan tersedia.

"Sebagai penyedia perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2000, Zetrix AI memahami kepentingan memastikan perkhidmatan penting ini kekal boleh diakses, dipercayai dan memudahkan orang ramai. 

"Kumpulan mengakui tanggungjawabnya kepada pelanggan dan kekal komited untuk memenuhi tanggungjawab kepada Kerajaan," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, pelanggan yang telah mengakses perkhidmatan JPJ yang terjejas sebelum penggantungan pada 5 Oktober tidak perlu bimbang kerana urus niaga mereka telah diproses dan diselesaikan sewajarnya.

Kenyataan itu menyusul apabila Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui JPJ menggantung perkhidmatan melalui saluran My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 adalah RM314 juta, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT.

Must Watch Video

Advertisement