Skip to main content

Malaysia

Dua pelancong cedera dihempap runtuhan struktur bangunan warisan berusia 81 tahun

https://www.sinarharian.com.my/article/790743/berita/semasa/dua-cedera-dihempap-runtuhan-struktur-bangunan-warisan
Dua mangsa cedera dalam kejadian runtuhan struktur bangunan warisan di sebuah premis di Lebuh Armenian pada Selasa. - Gambar/ JBPM
Advertisement

GEORGE TOWN: Dua pelancong warga Sri Lanka cedera dalam kejadian runtuhan struktur bangunan di sebuah premis bangunan warisan di Lebuh Armenian di sini pada Selasa.

Kejadian yang dilaporkan pada jam 1.11 tengah hari itu melibatkan runtuhan batu dan kayu dari bahagian rasuk (beam) di tingkat satu bangunan Poh Thye Hoe yang berusia lebih 81 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 1.17 tengah hari dan mendapati berlaku runtuhan batu serta kayu dari bahagian rasuk di tingkat satu bangunan.

“Kejadian itu melibatkan dua mangsa warga asing iaitu lelaki berusia 66 tahun dan wanita berusia 55 tahun yang dijadualkan pulang ke negara mereka pada esok. Kedua-duanya mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi dan menjalankan rawatan awal.

"Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat tamat pada jam 2.29 petang," jelasnya.

Sinar Harian sedang mendapatkan kenyataan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang berhubung kejadian berkenaan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement