Skip to main content

Malaysia

Adawiyyatunnisa unggul di DAF Thailand 2026, siap sedia gegar Kyrgyzstan

DAF Thailand 2026
Adawiyyatunnisa Azham Affif beraksi di DAF Thailand 2026. - Foto Astro AWANI/Ian Johan Ariff
Advertisement

YALA: Bergema nama Adawiyyatunnisa Azham Affif di Bannang Sata tatkala atlet kebangsaan itu dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Wanita pada Kejohanan Memanah Berkuda DAF Thailand 2026 yang berlangsung di sini pada Ahad.

Pada lewat petang itu, Adawiyyatunnisa, 19, diumum sebagai Juara acara 'Hungarian (Women)' dan Tempat Ketiga untuk acara 'Raid 233 (Women)', pencapaian yang mengatasi sebelas lagi pencabar lain dari rakan senegara, pemanah Mongolia, dan wakil tuan rumah.

Beliau mencatat mata keseluruhan 43.01 dalam acara ‘Hungarian (Women)’, kelebihan 0.61 mata daripada pencabar terdekat dari Mongolia, Baatarsuren, yang menduduki tempat kedua, disusuli seorang lagi atlet memanah berkuda wanita negara, Qaseh Nur Humaira Azmi di tempat ketiga.

Dalam acara 'Raid 233 (Women)' pula, Adawiyyatunnisa telah mengutip mata keseluruhan 49.40 yang meletakkannya di tempat ketiga, diatasi Baatarsuren di tempat kedua dengan 53.13 mata dan Heba Nursaybah Ahmad Muaz di tempat pertama dengan 53.47 mata.

Jumlah keseluruhan mata daripada kedua-dua acara meletakkan Adawiyyatunnisa di tempat teratas daripada seluruh peserta kategori wanita, membawa pulang trofi utama dan hadiah wang tunai serta baucar hotel.

Image
 day Thailand, Adawiyyatunnisa Azham Affif
Adawiyyatunnisa Azham Affif (kiri) menerima trofi juara wanita keseluruhan DAF Thailand 2026.

Ini merupakan penganjuran kedua DAF Thailand 2026, menjadi salah satu acara memanah terbuka terbesar di negara Gajah Putih itu yang bermatlamat mempromosi dan mengangkat sukan tersebut, memelihara tradisi memanah berkuda, mempererat persahabatan antara atlet, dan menyumbang kepada pembangunan pelancongan dan ekonomi di Selatan Thai.

Adawiyyatunnisa melihat kejohanan ini sebagai pentas terbaik untuk menguji prestasi semasanya sebelum melangkah ke cabaran di bumi Kyrgyzstan dalam Sukan Nomad Dunia (World Nomad Games, WNG) 2026 yang akan membuka tirai hujung bulan ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan yang dicapai.

"Tapi saya masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa, masih ada kemahiran yang perlu diperkemas kerana saya percaya saya boleh lakukan yang lebih baik daripada ini dan menampilkan pencapaian terbaik di WNG 2026 nanti, insya-Allah," ujar atlet dari JEQMA (Jawi Equestrian Martial Arts) itu.

Adawiyyatunnisa akan bersama Qaseh Nur Humaira serta seorang lagi atlet, Norain Noor Nadia Mohd Fuzi untuk menggalas cabaran negara dalam acara Memanah Berkuda Wanita di WNG 2026, yang akan berlangsung di Bishkek dan Issyk-Kul, Kyrgyzstan pada 31 Ogos hingga 6 September.

Tentang Adawiyyatunnisa

Beliau mula bergiat aktif dalam aktiviti panahan klasik dan sukan ekuestrian sejak berusia tujuh tahun, telah memahat namanya selaku antara pemanah wanita disegani di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Lahir dari Akademi JEQMA, Adawiyyatunnisa menjadi atlet elit yang sering melangkah ke podium, antaranya menjadi Johan berturut-turut dalam Kejohanan Memanah Berkuda Wanita di Semenyih, Selangor pada 2023 dan 2024; Tempat Ketiga dalam Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa Labuan pada 2023; dan Tempat Ketiga dalam Kejohanan Masters Memanah Berkuda Antarabangsa Pertama di Inner Mongolia, China pada 2024.

Kejayaan pingat gangsa acara 'Korean Serial' dan tempat kesepuluh ranking keseluruhan Kelayakan Piala Dunia WHAF Peringkat Asia Yangtze River Delta International (Kumpulan 1) pada 2025 menjadikan Adawiyyatunisa wanita pertama dan satu-satunya wanita yang akan mewakili Asia ke Piala Dunia 2026.

Must Watch Video

Advertisement