KOTA KINABALU: Kementerian Perpaduan Negara mengalihkan fokus strategiknya daripada memperkukuh perpaduan sosial kepada pembinaan Negara Bangsa menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha berkenaan bertujuan membina identiti bersama berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, sikap saling menghormati dan tanggungjawab bersama selaras Malaysia melangkah ke era baharu.
“Sebuah Negara Bangsa yang berjaya ialah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan etnik yang bukan sekadar hidup bersama, tetapi juga berkongsi masa depan yang sama.
“Dalam usaha ini, kerjasama antara agama akan kekal menjadi satu daripada tunjang utama kerana apabila komuniti beragama berganding bahu, masyarakat menjadi lebih berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan sesi perbincangan meja bulat di sini hari ini.
Bertemakan Human Flourishing and Multi-Faith Partnership, program sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan International Centre for Law and Religion Studies (ICLRS), Brigham Young University, Amerika Syarikat.
Selain itu, ia mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Seminari Theologi Malaysia, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Mufti Negeri Sabah serta Pertubuhan Keharmonian Inklusif Tanah Air (KITA) Sabah.
Program berkenaan menghimpunkan pemimpin pelbagai agama, ahli akademik, penggubal dasar, wakil kerajaan, organisasi masyarakat sivil serta pemimpin komuniti sebagai wadah wacana intelektual serta memperkukuh kerjasama berasaskan nilai-nilai sejagat.
Aaron berkata perbincangan meja bulat itu juga selari dengan hasrat Malaysia untuk memperkukuh perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang kaum, justeru perbincangan mengenai kesejahteraan insan perlu melangkaui aspek pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata pembangunan negara tidak boleh diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya sebuah negara benar-benar berkembang maju apabila rakyatnya hidup dengan bermaruah, saling mempercayai, menghormati kepelbagaian serta bekerjasama demi kebaikan bersama,
Aaron berkata Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di samping menjamin kebebasan agama lain untuk diamalkan secara aman dan harmoni.
Beliau berkata keseimbangan yang termaktub dalam Perlembagaan membolehkan Malaysia memupuk masyarakat majmuk, dengan penganut pelbagai agama terus hidup bersama di samping memelihara identiti masing-masing.
Mengenai kerjasama antara agama, Aaron berkata ia bukan sekadar berkaitan toleransi beragama, malah melibatkan usaha bekerjasama melangkaui perbezaan bagi menangani cabaran bersama.
“Di Malaysia, organisasi keagamaan telah lama menjalin kerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman menerusi usaha bantuan kemanusiaan, program bantuan makanan, inisiatif pendidikan serta bantuan kebajikan kepada golongan rentan,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata pemimpin agama antara tokoh yang paling dipercayai dalam masyarakat kerana mereka membentuk nilai moral, mempengaruhi pandangan awam serta berperanan sebagai pembimbing utama ketika berdepan situasi tidak menentu.
“Tanggungjawab mereka (pemimpun agama) tidak hanya tertumpu kepada komuniti keagamaan masing-masing, tetapi juga merangkumi peranan sebagai penjaga keharmonian masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA