KOTA KINABALU: Dua syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) kini kembali beroperasi membekalkan 155MW tenaga elektrik kepada kepada Grid Sabah.

Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan SESB Adrian Mosigil berkata syarikat Kimanis Power Sdn Bhd telah beroperasi dan membekalkan semula 95MW tenaga elektrik itu semalam.

Beliau berkata satu lagi IPP iaitu syarikat Ranhill Powerton II Sdn Bhd pula telah mula membekalkan tenaga elektrik semula sebanyak 60MW kepada grid itu pada Khamis lalu.

"Pengoperasian semula kedua-dua IPP itu akan meningkatkan semula penjanaan bekalan elektrik di Sabah yang sebelum ini mengalami rizab margin pada paras kritikal," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kimanis Power Sdn Bhd telah menutup sementara bekalan elektriknya pada 6 Jan lepas bagi memberi laluan kepada pemeriksaan keselamatan daripada Jabatan Keselematan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Sementara Ranhill Powerton II Sdn Bhd membuat penutupan kecemasan akibat masalah high vibration gear di set penjanaan mereka pada 14 Jan lepas.

Dalam pada itu Adrian mengumumkan IPP Serudong Power Sdn Bhd dijangka dapat membekalkan 11MW tenaga elektrik ke Grid Sabah bermula 1 Mac ini, manakala Stesen Janakuasa Patau-Patau di Labuan 30MW yang mengalami masalah teknikal sejak 5 Sept tahun lalu juga dijangka beroperasi semula 29 Feb ini.

Katanya Stesen Jana Kuasa Hidro Tenom Pangi sedang dalam proses pembaikan selepas ditutup sepenuhnya akibat kerosakan teruk akibat bencana alam pada 31 Okt 2022, dan dijangka akan beroperasi secara berperingkat bermula Mac, Jun dan Oktober ini.

-- BERNAMA