JOHOR BAHRU: Dua jalan raya di daerah Segamat ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas ia dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri.

Beliau berkata jalan tersebut ialah Jalan Jabi di Kampung Bukit Tempurong melibatkan penutupan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer susulan laluan tersebut dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Turut ditutup ialah Jalan Bangas berdekatan Kampung Simpang Loy melibatkan laluan sepanjang 100 meter selepas air naik setinggi 0.6 meter.

"Kedua-dua jalan ini ditutup kepada semua jenis kenderaan. Bagi Jalan Jabi, tiada laluan alternatif manakala mereka yang biasa melalui Jalan Bangas sebelum ini, boleh menggunakan Jalan Kuala Paya Balai Badang.

"Pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah dan pihak konsesi Jalan Negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Solihan turut menasihati rakyat agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan patuh kepada arahan pihak berkuasa selain menjaga keselamatan masing-masing.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 658 mangsa banjir daripada 192 keluarga di Segamat dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara di daerah itu.

-- BERNAMA