GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia ketika cuba menyeludup keluar syabu dan pil ekstasi bernilai RM64,700 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata mereka membawa dadah yang disembunyikan dalam bagasi "hand carry" dan ditahan ketika melalui mesin pengimbas di laluan antarabangsa.

Beliau berkata petugas mesin pengimbas mendapati terdapat barangan mencurigakan sebelum memaklumkan kepada pihak polis dalam kejadian kira-kira 5.20 petang itu.

"Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang yang menjalankan pemeriksaan terhadap bagasi dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu menemukan bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat 2,000 gram bernilai RM64,000 dan satu peket plastik mengandungi 14 biji pil ekstasi bernilai RM700.

"Kesemua dadah itu dibungkus dan disorok dalam lipatan baju dalam beg yang mereka bawa dan semasa ditahan kedua-dua lelaki terbabit dalam perjalanan pulang ke Indonesia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Hamzah berkata berdasarkan siasatan dua lelaki terbabit pernah masuk ke negeri ini sebelum ini dan mereka mendakwa tidak mengetahui terdapat dadah dalam bagasi itu kerana ia diserahkan oleh sindiket.

Beliau berkata dua lelaki yang masing-masing bekerja sebagai pereka dalaman dan pengedar barangan elektronik itu menerima sejumlah bayaran sebagai upah.

"Mereka mendakwa mendapat tawaran percutian ke negeri ini dan upah untuk membawa pulang beg itu, Kita percaya mereka ini digunakan sindiket pengedaran sebagai keldai dadah," katanya.

Dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan oleh rangkaian sindiket di negara terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket itu di Malaysia.

"Ujian air kencing kedua-dua lelaki berkenaan negatif dadah. Mereka kini direman hingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA