MALAYSIA
Dua kes tembak di KL libat elemen kongsi gelap - Polis

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, bagaimanapun sama ada suspek diupah atau tidak masih belum dapat dipastikan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati dua kes tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras baru-baru ini dipercayai membabitkan elemen kongsi gelap.
Ringkasan AI
- Dua kes tembakan di Brickfields dan Cheras dipercayai melibatkan unsur kongsi gelap, dengan siasatan awal mengaitkan insiden itu kepada konflik jenayah di luar Kuala Lumpur.
- Polis mengesahkan kes berkaitan perseteruan tertentu, termasuk isu penyeludupan di Sibu dan konflik jenayah di Selangor; namun tahap keselamatan ibu negara masih terkawal.
- Siasatan masih berjalan dan usaha memburu suspek giat dijalankan, sementara orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dan terus berwaspada.
“Siasatan masih berjalan dan usaha memburu kesemua suspek sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis memberi jaminan tahap keselamatan di ibu negara masih terkawal dan aman walaupun berlaku dua kes tembakan dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata bahawa kedua-dua kes tembakan berkenaan dipercayai mempunyai sasaran tertentu akibat perseteruan.
Menurutnya, orang ramai di sekitar ibu negara tidak perlu bimbang terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
Sebelum ini, media melaporkan dua kejadian tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa turut dilaporkan berkata bahawa kedua-dua kes tembakan yang berlaku adalah akibat masalah yang timbul di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembakan yang membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras pada tengah malam Isnin lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
Sementara itu, kejadian tembakan yang berlaku di Brickfields pada Jumaat lalu pula dipercayai berpunca daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami