SIMPANG RENGGAM: Dua lelaki nyaris maut apabila tersepit selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 43.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pada Selasa.

Kedua-dua mangsa berusia 44 dan 39 tahun itu cedera, manakala pemandu bas, serta pemandu sebuah van yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Maznan Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.49 pagi dan seramai 14 anggota dihantar bagi operasi menyelamat.

"Kemalangan jalan raya ini melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah bas persiaran, sebuah kereta dan sebuah van.

"Terdapat dua mangsa dalam kereta yang tersepit dan mengalami kecederaan. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

"Mereka diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, bas persiaran terbabit tidak membawa penumpang ketika kejadian.