GEORGE TOWN: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia yang ditemukan mati di kawasan parkir sebuah apartmen dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi pada kerusi.

Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, didakwa secara bersama menyebabkan kematian Arsan Eka Putra di pangsapuri Eastern Court di Jelutong, di sini pada 5.39 petang, 22 April lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani. Tiada pengakuan direkodkan, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA: Mayat lelaki diikat rantai besi pada kerusi ditemukan di kawasan parkir

Mahkamah menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cyril Jatius, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selasa lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang merupakan rakan serumah mangsa dan seorang lagi lelaki tempatan berusia 45 tahun.

-- BERNAMA