NATIONAL
Dua lelaki ditahan disyaki curi kabel TM

Kerugian dianggar bernilai RM3,600 dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan 186 Kanun Keseksaan. - Gambar IPD Sepang
PUTRAJAYA: Dua lelaki ditahan selepas disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) di sekitar Sepang dengan melibatkan kerugian dianggar RM5,400.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Shan Gopal Krishnan berkata masing-masing yang berusia 35 dan 40 tahun ditahan pada 10.30 malam dan 4 pagi tadi oleh anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah.
"Hasil penahanan lelaki pertama di kawasan Putra Perdana, polis merampas sebuah kenderaan, dua kunci penutup lubang kumbahan, sebatang penyangkuk besi, satu telefon bimbit serta sepeket plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki syabu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semasa ditahan, lelaki terbabit yang positif dadah turut bertindak agresif terhadap anggota polis dan cuba melarikan diri.Kerugian dianggar bernilai RM3,600 dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 379 dan 186 Kanun Keseksaan.
Shan Gopal berkata hasil penahanan lelaki kedua di sekitar Sepang, polis merampas dua gelung kabel TM berukuran 30 meter yang dianggarkan bernilai RM1,800.
"Suspek memiliki rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Pihak polis dalam tindakan mengesan rakan jenayah yang masih bebas," katanya sambil menambah kes turut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami