KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki berusia antara 26 hingga 38 tahun kerana disyaki mencuri barang kemas milik seorang wanita di Mesra Villa, Jalan Ikan Emas, Taman Pandan Mesra, di sini minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata suspek pertama ditahan pada 6.30 petang, 12 Feb lepas di kawasan Taman Pandan Mesra di sini dan soal siasat ke atas penganggur itu membawa kepada tangkapan suspek kedua pada 14 Feb, 8.45 malam di kawasan Sungai Buloh, Selangor.

Katanya suspek pertama mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang berusia 56 tahun manakala suspek kedua yang bekerja sebagai tukang masak berperanan sebagai pembeli barang kemas itu.

Mohd Azam berkata kejadian itu berlaku pada 11 Feb lepas apabila wanita warga tempatan itu mendapati barang kemas yang diletakkan di laci almari dalam bilik tidur rumahnya telah hilang pada 3.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seutas gelang tangan emas telah tiada manakala seutas rantai leher emas miliknya juga telah ditukar kepada emas palsu dan anggaran kerugian lebih kurang RM30,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata kedua-dua suspek positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Motif kejadian adalah disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah," katanya.

Katanya, suspek pertama direman tujuh hari bermula 13 Feb lepas hingga esok dan suspek kedua direman selama tiga hari bermula dari tarikh tangkap hingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam rumah, katanya.

-- BERNAMA