Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki Indonesia didakwa edar lebih 147 kg dadah bernilai jutaan ringgit

Dua lelaki warga Indonesia, Junaidi, 51, (kanan) dan Irfansyah, 30, (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 147.188 kilogram di perairan Teluk Kumbar, dua minggu lepas. Mahkamah menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan Taporan kimia selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Junaidi (kanan) dan Irfansyah (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

BALIK PULAU: Dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengedar 147.188 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di perairan Teluk Kumbar pada 17 Julai lepas.

Junaidi, 51, dan Irfansyah, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 113.776 kg di kedudukan GPS Latitud 05 Darjah 07.045 Utara dan Longitud 100 Darjah 14.063 Timur, di kawasan perairan Teluk Kumbar di sini, kira-kira 7.15 malam pada 17 Julai.

Kedua-dua lelaki itu turut dituduh bersama-sama mengedar methamphetamine dalam bentuk cecair seberat 33.412 kg di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Mahkamah menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia, selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Sebelum ini, polis menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai hampir RM6 juta ke Indonesia menerusi Ops Taring Gelora di perairan Pulau Rimau selepas menahan sebuah bot fiber dinaiki dua lelaki warga Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement