AMPANG: Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki memukul seorang peniaga di sebuah kedai runcit di Taman Pandan Cahaya di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 malam itu, tiga lelaki telah datang ke kedai runcit itu kerana mahu membeli minuman keras.

"Lelaki berusia 25 tahun itu telah menegur dua suspek kerana bersuara tinggi serta meminta mereka keluar dari kedai itu," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek memukul mangsa dengan menggunakan tangan serta kayu di luar kedai tersebut.

"Orang ramai dan seorang lagi rakan kepada kedua-dua suspek itu menolong untuk meleraikankan pergelutan tersebut.

"Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami bengkak di lengan kiri, luka di belakang badan dan dada," katanya.

Tambah Mohamad Farouk, kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu telah ditahan di lokasi kejadian, setelah polis menerima maklumat berkaitan kes tersebut.

"Polis turut merampas sebatang kayu digunakan suspek ketika kejadian. Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya," katanya. -Sinar Harian