MOSCOW: Dua orang maut manakala enam lagi cedera akibat insiden tembakan di sebuah majlis perkahwinan di Ottawa, kata Perkhidmatan Polis Ottawa, lapor Sputnik.

"Unit Pembunuhan Polis Ottawa terus menyiasat satu insiden tembakan yang menyebabkan dua lelaki maut dan mencederakan 6 orang... keganasan ini adalah tragik dan tidak dapat diterima. Ia mengganggu seluruh masyarakat kita.

"Polis sedang menghubungi pemimpin masyarakat untuk memastikan keluarga mangsa mendapat sokongan sepatutnya," menurut polis dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kesemua mangsa sedang menghadiri majlis perkahwinan apabila tembakan berlaku, tambahnya.

Perkhidmatan polis kemudiannya mengenal pasti identiti mangsa tersebut berkata, "tiada petunjuk serangan itu bermotifkan kebencian."

Tambah perkhidmatan itu, ia tidak mempunyai keterangan mengenai suspek dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Sebanyak 13 pembunuhan telah berlaku di ibu negara Kanada pada 2023, kata polis. - BERNAMA-SPUTNIK