BENTONG: Pemandu dan kelindan maut selepas treler yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan setelah hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, malam Ahad.

Dalam kejadian jam 9.10 malam, pemandu dan kelindan masing-masing berusia 44 dan 63 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata ketika kejadian, treler jenis Volvo membawa muatan batu bongkah dalam perjalanan dari ibu negara menghala ke Bentong.

Jelasnya, treler berkenaan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik lalu melanggar penghadang besi di kiri jalan.

Lori treler berkenaan mengalami kerosakan di keseluruhan bahagian hadapan kepala lori dan ekor lori.

Beliau turut memaklumkan, ketika kejadian, cuaca hujan dan jalan licin.


Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Pihak polis juga meminta saksi-saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.