GEORGE TOWN: Dua individu cedera melecur tahap satu dalam kebakaran membabitkan sebuah restoran masakan Cina di Tingkat Mahsuri, Bayan Baru di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang melecur di bahagian kaki dan wanita berumur 47 tahun melecur di tangan, mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah hari sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru terus ke lokasi dan mendapati restoran berkeluasan 148.64 meter itu mengalami kebakaran dengan api bermula di ruangan dapur.
"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 20 peratus dan api telah dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api jenis serbuk kering sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada 1.21 tengah hari selepas pasukan bomba menjalankan kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di restoran tersebut.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA