Dua pegawai Wisma Putra mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah sehingga RM378,000.

Diplomat Shahril Effendi Abd Ghany, 48, dan pegawai kanan Kementerian Luar Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, dituduh berasingan di hadapan Hakim Sesyen Mohd Nasir Nordin pagi tadi.

Shahril, yang hadir dengan sut biru, didakwa menipu dengan niat Kedutaan Malaysia di Washington DC, menggunakan dua dokumen pada 2011 semasa Sidang Kemuncak APEC di Honolulu, Hawaii.

Dokumen itu ialah penyata tuntutan bertarikh antara 3 hingga 16 November serta satu resit rasmi kepada Aloha Way Transportation bertarikh 3 Nov yang berjumlah US$126,681.

Menurut kertas pertuduhan, Shahril mempunyai alasan untuk percaya bahawa dokumen-dokumen itu mengandungi maklumat salah tetapi mengesahkan jumlah wang tersebut dibelanjakan bagi tujuan sewa kenderaan daripada Aloha Way sedangkan jumlah sebenarnya hanyalah US$88,500.

Sementara itu, Mohd Hadtamizi, yang berpakaian kasual baju lengan pendek putih dan bertopi merah, dituduh bersubahat dengan Shahril.

Kesalahan itu termaktub di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah tuntutan palsu yang dibuat.

Pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwaraya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Shahril diwakili peguam Shamsul Sulaiman manakala Mohd Hadtamizi oleh Shahrullahan Nawan Zad Khan dan Ridha Abadah Subri.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan kedua-dua mereka diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes berkenaan akan didengar berasingan di hadapan hakim yang sama dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Februari.

SPRM pada Selasa lalu menahan kedua-dua mereka untuk membantu siasatan kes yang pada mulanya disiasat mengikut Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.