GEORGE TOWN: Dua lelaki yang sedang melakukan pemasangan lampu jalan di Jalan Batu Lancang, Jelutong, di sini terperangkap di atas kren pengangkut (skylift) selepas  jentera itu mengalami kerosakan awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pekerja berusia 18 dan 26 tahun gagal turun berikutan sistem hidraulik jentera berkenaan rosak.

Bagaimanapun, dua pekerja berkenaan diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati  dua lelaki terperangkap di atas jentera berkenaan pada ketinggian kira-kira 10 meter.

"Anggota kita telah menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk membawa turun pekerja tersebut.

"Mangsa berjaya diturunkan dengan selamat pada pukul 3 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.10 pagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.