PASIR MAS: Polis menahan empat lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah dan merampas 200 biji pil epam dalam serbuan di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Repek, dekat sini pada Rabu.

Serbuan jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia antara 16 tahun hingga 19 tahun.

"Bagaimanapun salah seorang daripada suspek yang ditahan itu merupakan warganegara Thailand," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang telah dijalankan pihak polis telah merampas 200 biji pil epam dianggarkan berjumlah RM800.

Ujarnya, hasil semakan mendapati dua daripada empat suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau yang berkait kes dadah.

Kama Azural memberitahu, saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati mereka negatif.

Katanya, kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi tujuan siasatan.

"Pihak polis ingin menegaskan bahawa usaha memerangi masalah dadah bukannya sekadar tanggungjawab pihak berkuasa namun masyarakat secara umumnya perlu mempunyai kesedaran untuk bersama-sama membanterasnya.

"Sehubungan itu, pihak polis menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau di balai-balai yang berdekatan," katanya. - Sinar Harian