Dua penari hip hop wanita Islam dari Amerika Syarikat kini berada di sini untuk memperkongsi pengalaman mereka tentang bagaimana kemahiran melakukan tarian hip hop dapat digunakan sebagai dakwah mengatasi Islamophobia.

Kedua-dua, Amirah Sackett, 40, dan Marry Mar, 36, tiba di Malaysia pada 9 Ogos untuk menceritakan pengalaman mereka sebagai penganut Islam di negara mereka.

"Realiti ketika ini ialah islamophobia telah menjadi tajuk umum dalam masyarakat, jadi kami mengambil pendekatan menggunakan tarian hip hop sebagai medium untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap orang Islam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan 'Get Down Session' di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa pada Isnin.

Amirah, pengasas Kumpulan Penari Wanita, 'We Are Muslims, Do not Panic' berkata tarian hip hop ini adalah tarian modern yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya negara mereka dan boleh dianggap sebagai cara terbaik untuk dijadikan medium dakwah.

"Bila penonton melihat persembahan yang saya lakukan dengan berpakaian menutup aurat (Abaya), secara tidak langsung ia dapat mengubah persepsi salah mereka terhadap orang Islam yang mana mereka (orang Islam) juga boleh melakukan tarian 'Cool dance," katanya.

Sementara itu, Marry, dari Detroit berkata tarian hip hop yang mereka lakukan dalam persembahan tidak membabitkan sebarang gerakan lucah, tetapi gerakan biasa sahaja, seperti senaman.

"Ini kali pertama saya ke luar negara untuk memperkongsikan pengalaman dan budaya negara kami tentang tarian ini, oleh kerana ini satu cara menyemai disiplin dan meningkatkan tahap keyakinan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Budaya Amerika Sarah J.Talalay berkata dua penari itu dibawa ke sini untuk acara memperkongsi pengalaman mereka itu di tiga lokasi - Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur bermula dari 9 hingga 18 Ogos.

"Kami mahu mendedahkan sebahagian daripada budaya Amerika dan memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dengan orang Islam kami," kata beliau.

-- BERNAMA