Kerja-kerja pembangunan infrastruktur dua daripada enam projek ikonik Kedah, Taman Teknologi dan Sains Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam dan 'Bandaraya Getah' di Padang Terap akan dimulakan tahun depan.

Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq berkata sebuah makmal infrastruktur telah dibentuk serta perunding bagi dua projek berkenaan telah dilantik bagi merancang projek tersebut.

Apabila siap menjelang 2030, katanya, projek KSTP itu mampu menjana 23,444 peluang pekerjaan dalam bidang berasaskan agro teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi manakala 14,471 peluang pekerjaan dalam 'Bandaraya Getah'.

Projek KSTP dibangunkan di atas tapak seluas 800 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) manakala projek 'Bandaraya Getah' dijalankan di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap.

"Kita bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri khususnya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam mencari inisiatif baharu dalam membangunkan koridor wilayah utara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal, anak-anak yatim serta orang kelainan upaya di Masjid Bukit Tinggi di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan asas kepada 300 penduduk melalui inisiatif Kembara Kasih Ramadan 2016 di wilayah koridor utara.

Selain dua projek itu, projek ikonik Kedah yang lain adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE) dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah.