KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia diumumkan sebagai penerima anugerah kehormat daripada Kerajaan United Kingdom (UK).

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay, berkata, pengasas Yayasan Kanser Mulut, Dr Vinod Kumar Joshi akan dianugerahkan Officer of the Order of the British Empire (OBE) manakala pemandu pengembara dari Sabah, Tham Yau Kong pula dianugerahkan Member of the Order of the British Empire (MBE)

Menurutnya, kedua-dua mereka terpilih bagi menerima anugerah itu sebagai menghargai sumbangan masing-masing dalam bidang perubatan dan kemasyarakatan.

"Selain menubuhkan Yayasan Kanser Mulut pada 2004, Dr Vinod Kumar juga aktif berkongsi pengetahuannya menerusi forum dan laman web, sekali gus memberi pendedahan mengenai kanser mulut kepada masyarakat umum.

"Dr Vinod Kumar juga menjadi pencetus kepada idea melakukan pemeriksaan kanser mulut secara kendiri di rumah sebagai langkah awal pencegahan kepada penyakit itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Selepas bersara daripada Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) pada 2011, Dr Vinod Kumar menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) sebagai perunding dan menubuhkan klinik onkologi pergigian.

Sehingga sekarang beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kanser Mulut, kata Hay.

"Sementara itu, Yau Kong pula menerima anugerah itu atas sumbangan dalam penyelidikan dan menjejaki laluan perarakan kematian perang dunia kedua Sandakan-Ranau," katanya.

Beliau berkata, pemberian anugerah itu adalah bagi mengiktiraf sumbangan kedua-dua mereka kepada masyarakat.

Sementara itu, Dr Vinod Kumar menyifatkan anugerah itu sangat bermakna kepada diri beliau dan badan amal.

"Saya lihat ini sebagai pengiktirafan kepada ketabahan yang ditunjukkan semua pesakit, kakitangan dan sukarelawan dalam terus mengekalkan visi sejak penubuhan badan aman itu.

"Ini adalah satu penghormatan kepada mereka, malangnya ada yang sudah pergi," katanya.

Yau Kong pula berkata, beliau akan terus membantu dalam mengekalkan sumbangannya kepada sejarah ekologi dan alam sekitar.