MUAR: Polis menahan dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini, selepas dipercayai membuli seorang pelajar sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata kedua-dua suspek berusia 16 tahun itu ditahan di Kuala Sungai Baru, Melaka dan Johor Bahru, Johor.

Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan berkaitan kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli oleh ‘senior’ pada 9 Disember lalu sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang semalam (Selasa) memaklumkan mangsa dibuli oleh pelajar-pelajar lebih senior sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri.

“Hasil siasatan awal kemudian mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya, menyebabkan mereka dibuli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, selain dua pelajar berkenaan, pihak polis juga sedang mengesan suspek-suspek lain yang disyaki terlibat dengan perbuatan itu.

“Usaha mengesan suspek lain yang terlibat masih giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dipenjara sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Polis Daerah Muar memandangkan serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” tambahnya.