Skip to main content

Malaysia

Dua remaja perempuan maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Teluk Intan

Sumber: BERNAMA
Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang menaiki motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta serta seorang kanak-kanak lelaki dihantar ke hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan. - Gambar hiasan
Advertisement

IPOH: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6.35 petang.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 28 tahun itu serta seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat, telah dihantar ke hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kereta tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement