KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan 16 buah rumah setinggan di Jalan Klang Lama, awal pagi ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 pagi.

Seramai 46 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Sri Petaling, BBP Pantai, BBP Sri Hartamas, BBP Taman Tun dan BBP Keramat beserta jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Anggota mendapati kebakaran melibatkan 16 buah rumah setinggan dan keadaan rumah terlalu rapat antara satu sama lain mengakibatkan operasi pemadaman agar sukar.

"Bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.05 pagi namun terdapat dua mangsa lelaki berusia lingkungan 60an ditemui rentung.

"Sebanyak 12 buah rumah terbakar 100 peratus manakala empat lagi rumah terbakar 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PGO JBPM Kuala Lumpur berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.