Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini atas tuduhan membunuh sahabat karib mereka, dua minggu lalu.
Tertuduh, D. Puhaleandram, 20, bersama rakannya, N. Sathis Kumar, 27, didakwa membunuh Raju Ava, 27, di Ladang Sawit Blok 10/1 Felda Lepar Hilir 3, di sini.
Kedua-dua suspek didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 hingga 5 pagi pada 18 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Muhairi Mohamed Noh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.
Pada 20 Oktober lalu, media melaporkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam keadaan kaki dan tangan terikat di tepi Tasik Paya Bungor, Jalan Kuantan-Maran di sini.
Lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari dan mungkin dibunuh.