Dua sahabat lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Bukit Raja, Kampung Perak, Batu Kurau pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, kedua-dua mangsa Mohammad Furqan Mohamad Yahaya, 20, dari Kampung Perak dan Mohd Zaid Aqwah Putra, 20, dari Kampung Sungai Ara dijumpai dalam lubuk sungai berkenaan.

"Kira-kira jam 1 petang empat orang lelaki dalam lingkungan umur 20 tahun mandi di kawasan tersebut yang mana salah seorang dipercayai hampir lemas.

"Salah seorang kawan cuba membantu tapi kedua-duanya lemas. Pihak polis sampai di tempat kejadian 15 minit kemudian dan mendapati kedua-dua mangsa telah dijumpai hasil bantuan orang kampung.

"Tempat kejadian berupa lubuk sungai kawasan berbukit, kedalaman tempat kejadian kira-kira 12 kaki," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya lagi, kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat lemas dan mayat mangsa telah dituntut oleh waris masing-masing.