GUA MUSANG: Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9), iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Sri Permai, di sini, dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga ke tingkatan lima.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli mendapat akses dan jaminan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah serta tidak terus tercicir.
“Di Gua Musang ini, setakat hari ini kita akan ada dua sekolah anak Orang Asli yang telah pun dinaik taraf daripada K9 ke K11. Maknanya, kalau K9 setakat tingkatan tiga, K11 sampai tingkatan lima. Jadi, anak-anak ini semua akan dapat akses dan jaminan pendidikan sehingga sekolah menengah di Gua Musang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Tahun 2026 di SK Gua Musang, di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, pembangunan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli juga perlu diperkukuh, khususnya dari sudut sokongan ibu bapa.
Menurut Fadhlina, sekolah anak Orang Asli sebelum ini bermula sebagai sekolah rendah sebelum dinaik taraf kepada K9 dan seterusnya K11.
“Jadi, termasuk anak Orang Asli juga. Sebab itu sekolah-sekolah anak Orang Asli ini, macam saya sebut tadi, asalnya sekolah rendah, kemudian kami naik K9, kemudian kami naik K11. Jadi, untuk tangani perkara-perkara itulah supaya mereka tidak terus tercicir dan diberikan keutamaan serta perhatian dalam pendidikan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan terhadap pembelajaran anak-anak turut melibatkan guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain.
Fadhlina berkata, beliau mengakhiri Program Tindak Susul Parlimen yang bermula dari Kuala Lipis, Pahang hingga ke Gua Musang dengan antara tumpuannya ialah memastikan persiapan guru dalam aspek latihan pedagogi, pembinaan komuniti dan pedagogi rimba.
“Saya singgah di IPG (Institut Pendidikan Guru) Tengku Ampuan Afzan untuk memastikan persiapan kami, khususnya latihan pedagogi dan pembinaan komuniti, yang kami sebut sebagai pedagogi rimba itu diperkukuhkan di peringkat latihan guru,” katanya.
Beliau berkata, sokongan kepada sekolah turut diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk papan pintar, tablet, bantuan sekolah dan sokongan untuk kegiatan guru, sekali gus diharapkan dapat membantu sekolah terus mencipta kecemerlangan.
-- BERNAMA