Dua lelaki dipercayai maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Jerai dekat Gurun, Kedah pada petang Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang tadi, di kawasan lereng bukit.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja penggalian di tapak perumahan, sebelum secara tiba-tiba tanah runtuh lalu menimbus kedua-dua mangsa.

Menurut Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidon kedua-dua mangsa dipercayai tertimbus pada kedalaman lebih 12 meter.

Difahamkan, operasi mencari mangsa sedang giat dilakukan pihak bomba ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.28 petang berhubung kejadian itu dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhd Noriman Mustaffa tiba di lokasi jam 6.30 petang.

Operasi disertai sembilan anggota termasuk penyelia.

Berdasarkan laporan awal Komander Operasi, kawasan berkenaan merupakan kawasan tapak projek perumahan.

Sayani berkata, tindakan awal Komander Operasi adalah membuat size up di lokasi dan maklumat awal mendapati terdapat dua orang mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Ketika ini bantuan pencahayaan telah dikerah ke lokasi.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd Zain menjelaskan pihak bomba kini giat melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.