Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Wanita perlu berani, miliki visi jelas sebagai pemimpin - Nancy

KUCHING, 25 Sept - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bergambar bersama peserta ketika menghadiri Program Kepimpinan Wanita dan Pemimpin Akar Umbi Dayak dalam Tadbir Urus, Pembuatan Keputusan dan Pembangunan Lestari (PERANTIS) di Dayak Chamber Tower hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy bergambar bersama peserta ketika menghadiri Program Perantis di Dayak Chamber Tower hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUCHING: Wanita perlu berani tampil memimpin, menetapkan visi dan menentukan hala tuju yang jelas bagi memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Syukri.

Beliau berkata kepimpinan bukan sekadar berkaitan politik atau memegang jawatan, sebaliknya melibatkan usaha membantu masyarakat dan memenuhi keperluan orang lain.

“Politik adalah tentang menjaga orang dan keperluan orang… jadi itu mesti ada dalam perancangan kita, bagaimana anda melihat diri anda membantu orang lain.

“Pemimpin juga perlu mempunyai nilai empati yang tinggi serta mampu menyelaraskan jiwa kepimpinan dengan tindakan yang dilakukan bagi memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Perantis: Program Kepimpinan Wanita dan Pemimpin Akar Umbi Dayak dalam Tadbir Urus, Pembuatan Keputusan dan Pembangunan Lestari di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nancy mengingatkan pemimpin juga perlu bijak menghadapi cabaran, tenang dalam menyelesaikan masalah dan mengetahui masa yang sesuai untuk bersuara.

“Seorang pemimpin tidak semestinya perlu banyak bercakap kerana ada ketika perlu berdiam dan mendengar untuk mempelajari sesuatu.

“Setiap individu yang memegang jawatan kepimpinan juga perlu memastikan terdapat pencapaian yang boleh dilihat sebagai pulangan kepada masyarakat atau return on investment (ROI), hasil daripada tanggungjawab yang dipikul,” katanya.

Nancy berkata kejayaan Dr. Florence Christie yang mewakili Sarawak di Persidangan Global Alliance for Healthy Cities (AFHC) 2026 di Sydney, Australia, membuktikan bahawa wanita Sarawak mampu melangkah ke peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement