Skip to main content
Advertisement

Malaysia

'Mata tajam yang mencungkil bakat, lahirnya sederet bintang' - Rosnani Jamil kenang pemergian L Krishnan

L.Krishnan_Rosnani Jamil
Menurut seniwati, Datuk Rosnani Jamil yang terkenal dalam filem Lupa Daratan itu, L. Krishnan mempunyai keupayaan membaca potensi seseorang dan berani memberikan peluang kepada mereka yang diyakininya mempunyai bakat. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Di sebalik lahirnya nama-nama besar dalam sejarah perfileman Melayu, ada insan yang terlebih dahulu melihat sinar bakat sebelum ia dikenali sebagai bintang.

Mendiang Tan Sri L. Krishnan adalah antara insan itu, seorang pengarah yang bukan sahaja menghasilkan karya, malah turut mencungkil dan membuka ruang kepada bakat baharu mewarnai layar perak.

Pelakon veteran, Datuk Rosnani Jamil, antara insan yang pernah menerima kepercayaan mendiang, menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai kehilangan besar kepada generasi awal seni dan perfileman tanah air.

Menurut seniwati yang terkenal dalam filem Lupa Daratan itu, L. Krishnan mempunyai keupayaan membaca potensi seseorang dan berani memberikan peluang kepada mereka yang diyakininya mempunyai bakat.

“Beliaulah yang nampak bakat saya dan meminta saya datang ke Shaw Brothers untuk menjalani ujian bakat. Dengan kepercayaan beliau terhadap bakat saya, saya lulus ujian dan menjadi bintang filem. Mendiang ini punya mata tajam yang mampu mencungkil bakat sebelum kami ini semua menjadi bintang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Rosnani berkata, bakatnya hanyalah sebahagian daripada legasi L. Krishnan yang lebih besar, termasuk peranan mendiang dalam membuka jalan kepada beberapa nama penting generasi awal filem Melayu, antaranya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Bagi Rosnani, keistimewaan L. Krishnan bukan hanya terletak di belakang kamera, malah pada keperibadiannya yang terus merapatkan hubungan dengan insan seni yang pernah bersamanya, walaupun selepas beliau meninggalkan dunia pengarahan.

Katanya, mendiang setiap tahun akan mengundang rakan-rakan lama ke majlis hari lahirnya, satu tradisi yang terus dilakukan walaupun jumlah mereka semakin berkurangan apabila seorang demi seorang berlalu pergi.

“Walaupun sudah menjadi Tan Sri dan berjaya, dia tidak pernah melupakan kami. Dia akan telefon, berjumpa dan menghormati semua bintang filem selagi mereka masih ada.

“Dia seorang yang baik hati, ramah, tidak sombong dan suka membantu orang yang susah, saya teringat dia cakap… ‘Jangan panggil saya Tan Sri lah, itu majlis formal sahaja. Panggil saya Mr L saja,’. Begitulah kerendahan hati mendiang,” katanya.

Rosnani turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat bertemu mendiang buat kali terakhir, walaupun sering berusaha menziarahinya setiap kali tiba hari lahirnya.

“Mak (panggilan Rosnani) memang mahu pergi jumpa dia. Setiap tahun hari lahir dia, Mak akan telefon isterinya dan bertekad mahu jumpa. Patutnya Mak pergi semalam (Khamis), tetapi tidak ada kawan yang boleh temankan,” katanya.

Krishnan dilahirkan di Madras, India pada 1922 dan memulakan kerjaya perfileman selepas Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Singapura pada 1949 untuk berkhidmat sebagai pengarah filem di Shaw Studio.

Sepanjang kerjayanya, beliau mengarahkan lebih 30 filem termasuk Bakti, Takdir Ilahi, Penghidupan dan Antara Senyum dan Tangis serta menerima Anugerah Merdeka 2016 bagi kategori Sumbangan Luar Biasa kepada Pendidikan dan Komuniti.

Mendiang Krishnan yang juga antara figura penting dan perintis dalam era kegemilangan industri filem Melayu klasik menghembuskan nafas terakhir pada usia 104 tahun di Chiang Mai, Thailand jam 2.15 petang waktu tempatan kerana berdepan masalah kesihatan atas faktor usia.

 

Must Watch Video

Advertisement