JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa kagum dan terharu atas ketabahan ditunjukkan rakyat Palestin dalam mendepani ujian yang amat berat.
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah rakyat Palestin telah membuktikan kepada seluruh dunia erti keberanian dan ketabahan serta menzahirkan nilai keimanan sebenar di sebalik segala cabaran, penderitaan serta kesusahan amat perit yang dialami.
”Saya berbesar hati dan berasa penuh tawaduk bertemu dengan anak-anak muda yang telah melalui kehilangan insan tersayang dan tempat tinggal, namun tetap menunjukkan keteguhan jiwa serta semangat yang tidak dapat dipatahkan.
“Semoga Allah SWT membalas ketabahan mereka dengan ganjaran keberkatan yang melimpah-ruah di dunia dan akhirat,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) seperti dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Raja Permaisuri Agong menzahirkan perkara itu sempena program UTM Chancellor’s Engagement with Palestinian Students yang bertemakan From Gaza to Malaysia: Palestinian Voices of Resilience, Hope and Rebuilding di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru hari ini.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Hadir sama Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Raja Permaisuri Agong juga berkenan mengurniakan sumbangan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada penuntut serta keluarga warga Palestin yang hadir sebagai menzahirkan keprihatinan dan meringankan beban mereka.
Program itu dianjurkan sebagai wadah dialog yang menghimpunkan suara komuniti Palestin di Malaysia merangkumi golongan akademik serta mahasiswa.
Sesi dialog itu menyaksikan ahli panel berkongsi pengalaman mengenai ketabahan hidup, suka duka sepanjang menuntut ilmu di UTM dan aspirasi dalam menyumbang kepada pemulihan serta pembangunan semula Gaza, terutamanya dalam sektor pendidikan dan pembangunan insan.
Sesi perkongsian menampilkan Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM Dr Mohamad S. J. Darwish dan penuntut doktor falsafah (PhD) Seni Bina daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur merangkap penerima Biasiswa UTM Serambi Al-Quds Sabreen M. M. Eleyan.
Selain itu, yang turut terlibat ialah Saifeddin Mithqal Hasan Meqbil daripada Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM yang juga penerima Biasiswa Bseisu-UTM serta ahli Jawatankuasa Palestin di Malaysia Ghada Alhaddad.
-- BERNAMA