KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Bomba Antarabangsa Malaysia 2027 (IFCEM 2027) akan menjadi platform strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meneroka aset serta teknologi baharu bagi memantapkan keupayaan operasi pasukan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Nordin Pauzi berkata acara yang diadakan serentak dengan Ekspo Keselamatan Kebakaran Asia (AFSE 2027) itu dijadualkan berlangsung dari 28 Sept 2027 hingga 1 Okt 2027 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Beliau berkata penerokaan aset dan teknologi terkini menerusi pameran antarabangsa itu penting bagi memastikan JBPM sentiasa selari dengan perkembangan global.
"Penganjuran IFCEM ini menjadi platform penting bukan sahaja untuk kepimpinan bomba meneliti teknologi dan aset baharu, malah juga kepada seluruh industri keselamatan kebakaran," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran IFCEM 2027 di sini hari ini.
IFCEM 2027 yang dianjurkan setiap tiga tahun itu merupakan kerjasama strategik JBPM dengan The Institution of Fire Engineers (UK) Malaysia Branch (IFEM), Pertubuhan Perlindungan Kebakaran Malaysia (MFPA), Gabungan Persatuan Perlindungan Kebakaran Antarabangsa (CFPA-i) dan Society of Fire Protection Engineers (SFPE).
Sebanyak 200 reruai pameran serta pelbagai seminar akan dianjurkan pada IFCEM serta AFSE 2027 yang dijangka menarik kira-kira 1,500 penyertaan dari dalam dan luar negara.
Nordin berkata teknologi terkini berkaitan keselamatan kebakaran juga semakin berkembang pesat seiring dengan kemunculan pelbagai cabaran baharu seperti risiko kenderaan elektrik (EV) serta pusat data.
Beliau berkata integrasi teknologi canggih termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) amat diperlukan untuk membantu pasukan penyelamat membuat analisis risiko, jangkaan serta keputusan yang lebih tepat dan cepat dalam tempoh kritikal.
Selain pameran aset dan perkhidmatan, penganjuran persidangan itu juga disasarkan menjadi medan perkongsian ilmu teknikal kepada jurutera dan industri keselamatan kebakaran.
-- BERNAMA