PEKAN: Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera dalam nahas melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 61, Jalan Kuantan - Segamat berhampiran simpang Chini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemandu salah sebuah kenderaan terlibat dikenali sebagai Azemil Atoi, 32, beralamat di Kampung Paya Pelong, Kerdau, Temerloh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu sebuah lagi kenderaan berusia 41 tahun dan penumpangnya yang berusia 21 tahun cedera di kepala.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lagi Toyota Hilux dari arah bertentangan yang terbabas memasuki laluannya.

"Akibat kejadian, kedua-kedua kenderaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa cedera di kepala," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Mohd Zaidi berkata, kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.