Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yakin mampu membawa sehingga 70,000 penumpang sehari bagi laluan monorel dengan dua set tren monorel empat-gerabak yang beroperasi bermula Isnin.

Dalam satu kenyataan, Prasarana memaklumkan bahawa melalui penambahan dua tren, ia telah meningkatkan jumlah tren yang digunakan untuk laluan monorel kepada lima set tren empat gerabak dan empat set tren dua gerabak.

"Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk pengguna dengan masa menunggu waktu puncak dikurangkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit," menurut kenyataan itu.

Pada April lepas, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP) memeterai perjanjian peroleh dan baik pulih tren monorel di bawah perkhidmatan KL Monorail.

Menerusi perjanjian itu, STP akan membaik pulih lima set tren empat gerabak yang dihentikan perkhidmatan sejak Januari 2018 bagi tujuan pembaikan selain membekalkan tujuh lagi set tren baharu dalam tempoh 20 bulan.

Selepas penggantungan kelima-lima tren empat gerabak ini pada Januari tahun lepas, jumlah penumpang harian untuk laluan monorel adalah kira-kira 32,000 penumpang.

Prasarana turut menunjukan bahawa dua set tren yang diterima itu disiapkan dua bulan lebih awal berbanding jadual asal yang ditetapkan iaitu November, sebelum mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk dimasukkan dalam perkhidmatan harian.

Sementara itu Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataan sama berkata ia merupakan satu hadiah Hari Malaysia yang cukup istimewa terutamanya di Kuala Lumpur.

"Kini, kelima-lima set tren empat-gerabak yang digantung perkhidmatan sejak Januari 2018 sudah kembali beroperasi selepas melalui kerja-kerja pemantapan keselamatan yang diperlukan dan berjaya lulus ujian ketahanan yang ditetapkan oleh APAD," katanya.

-- BERNAMA