NATIONAL
Dua wakil Astro AWANI sertai petugas haji 1446H/2025M

Zaiful serta Azizul turut menyertai petugas haji yang akan berlepas ke tanah suci hari ini. - Astrp AWANI
KUALA LUMPUR : Dua wakil Astro AWANI, Editor Eksekutif, Zaiful Ariffin serta Penerbit dan Editor Kanan, Azizul Azwa menyertai petugas haji yang akan berlepas ke tanah suci hari ini.
Apa yang pasti, Astro AWANI menjanjikan laporan komprehensif dan menyeluruh sempena musim haji tahun 1446H/2025M.
Antara tumpuan yang akan diberikan adalah perkembangan harian, perkongsian ringkas di platform media sosial dan laporan yang membawa sisi peribadi jemaah.
Menurut Zaiful, sebagai petugas media, pihaknya telah melakukan persiapan rapi terutamanya dalam memastikan segala persediaan untuk melaporkan laporan di tanah suci.“Apa yang penting kami sebagai petugas harus bersiap sedia terlebih dahulu untuk menerima jemaah yang akan hadir nanti di tanah suci, akan ada dua kumpulan. Satu akan tiba terus ke Madinah, satu lagi ke Mekah.
“Bagi kami petugas media tujuan kami untuk membuat liputan dan perkembangan harian, bagi penonton Astro AWANI laporan saya bersama Azizul Azwa, kami akan berada di tanah suci sehingga 16 Jun.
Ini bermakna laporan harian, kapsul, perkembangan di media sosial laporan dan di digital juga akan kami sediakan setiap hari,” katanya ketika ditemui hari ini sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagi Azizul Azwa, kerjasama dengan Tabung Haji (TH) akan diterjemahkan menerusi laporan harian dan akan membawa cerita-cerita yang lebih bersifat “personalised”.
“Kita akan mengadakan kerjasama dengan TH tentang apa saja perkembangan dan kita ada isu-isu lain yang kita boleh sertakan.
“Contohnya seperti cerita sisi peribadi tentang jemaah haji yang mana kalau kami merasakan ia menarik untuk ditonjolkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Program CATS FM yang juga petugas haji bagi musim ini, Mohamad Fadzli Dau turut teruja dipilih sebagai jemaah di samping menjalankan tugas untuk membawakan perkembangan terkini laporan semasa.
Katanya, pelbagai persiapan dilakukan terutamanya bagi memastikan fizikal berada pada tahap optimum
Ketiga-tiga petugas media ini adalah antara 74 orang yang telah mula berlepas hari ini, dan diikuti dengan kumpulan selebihnya yang akan berlepas secara berperingkat, bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Mekah.
Seramai 632 petugas haji Tanah Suci digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula hari ini bagi membuat persiapan awal operasi musim haji tahun 1446H/2025M.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami